Impak Positif dan Negatif Globalisasi

Sunday 12 August 2012
Dalam era globalisasi ini, wujud juga impak-impak yang memberi faedah dalam kehidupan seharian. Antara impak positif yang boleh diperkatakan ialah kebolehan berkomunikasi. Melalui zaman globalisasi yang hebat ini kita boleh berkomunikasi antara satu sama lain walaupun dalam jarak yang jauh. Kecanggihan teknologi yang diketengahkan mampu memberi faedah kepada manusia. Ciptaan pelbagai yang begitu canggih mampu mendekatkan sesuatu perjalanan atau sebagainya. Globalisasi juga akan meningkatkan kesediaan kognitif dimana apabila berada di ambang globalisasi, maka individu akan berlumba-lumba meningkatkan dapatan ilmu bagi setanding dengan pencapaian era semasa. Maka tidak hairanlah jika masa kini makin ramai individu yang proaktif dilahirkan. Kesan positif lain ialah pembelajaran sepanjang hayat. Ini bermakna individu belajar untuk masa hadapannya. Pembelajaran secara berterusan ini menjamin masa hadapan individu yang berfikiran terbuka. Impak seterusnya ialah menjadikan rakyat sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Warganegara yang bertanggungjawab akan memastikan arus globalisasi yang berlaku tidak mencemarkan nilai-nilai norma masyarakat setempat. Individu yang mempunyai nilai jati diri akan memastikan globalisasi yang berlaku tidak akan mengheret sekali nilai-nilai murni dan sensitiviti masyarakat. Globalisasi juga akan mencetuskan kemahiran teknologi yang baru. Kemahiran teknologi yang baru atau inovasi ini merupakan perkara yang sangat penting dalam memberi persaingan yang hebat antara negara-negara membangun lain. Kemahiran teknologi yang ada pada sesebuah negara menjadi kayu ukur kepada negara lain berkenaan kemajuan negara tersebut. Namun begitu, arus globalisasi juga mempunyai impak negatif. Impak ini seharusnya dielakkan bagi menjamin keamanan sejagat. Antara impak negatif yang sering kita dengar berkenaan globalisasi ini ialah penggunaan teknologi yang tidak terkawal. Apabila hal ini berlaku maka akan wujud persengketaan seperti peperangan dan sebagainya. Teknologi digunakan kepada tempat yang tidak sepatutnya. Ini perlu dielakkan agar dunia akan sentiasa aman. Impak negatif yang lain ialah pengkomersilan pendidikan. Pengkormesilan pendidikan seperti jualan ilmu di laman maya. Ilmu yang diberi bukan untuk sesuatu yang hakiki tetapi ianya bertujuan untuk mengaut keuntungan peribadi. Seterusnya ialah penularan kes-kes jenayah siber. Perkara ini sering berlaku kerana ada individu yang sanggup berbuat demikian bagi mencari keuntungan berlipat ganda dengan cara yang mudah. Ramai yang akan tertipu dengan penggunaan propaganda yang menarik tetapi memerangkap diri. Kita perlu menjauhkan diri dengan pelbagai kes jenayah siber seperti skim cepat kaya dan sebagainya agar tidak menyesal dikemudian hari. Impak negatif lain ialah manusia lebih mengharapkan kecekapan teknologi daripada kecekapan diri sendiri. Sikap kebergantungan ini semakin hari semakin serius. Banyak mesin yang dicipta bagi menggantikan kudrat manusia. Harus diperingatkan disini bahawa tidak semua kerja atau beban perlu diselesaikan dengan menggunakan mesin atau robot. Sikap sebegini akan lebih membuat manusia malas dan tidak peka terhadap sesuatu perkara. Melalui globalisasi juga impak negatif ketara dilihat pada negara-negara yang mundur. Ini kerana kurangnya faktor jaringan perhubungan atau teknologi melingkungi negara tersebut. Akibatnya, negara ini saling ditindas oleh negara yang lebih membangun.

0 comments:

Post a Comment